KUALA NERUS: Grafik kawah laut yang tular di media sosial susulan kes lemas di Pantai Batu Buruk, dekat sini, Isnin lalu, adalah tidak tepat dan berbeza daripada situasi sebenar.

Pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Effi Helmy Ariffin berkata apa yang berlaku di pantai berkenaan sebaliknya ialah wujudnya beberapa bahagian dasar laut yang dalam dipengaruhi oleh faktor ombak, arus dan fenomena pasang surut.

Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan kawah laut atau 'Seabed Crater' yang terhasil disebabkan oleh pelbagai proses termasuk impak dari angkasa, aktiviti gunung berapi, runtuhan dan aliran lumpur dasar laut.

Katanya, dasar laut dalam boleh terjadi di mana-mana kawasan apabila wujudnya beting pasir iaitu pasir atau sedimen yang terbenam atau separa terdedah dibentuk oleh ombak serta arus berhampiran pantai.

"Formasi beting pasir juga berbeza daripada segi saiz iaitu hanya beberapa sentimeter hingga struktur setinggi enam meter. Ia banyak terbentuk ketika hakisan pantai dan membawa pasir ke dalam laut sehingga terjadinya beting pasir ribut.

"Beting pasir ini boleh kelihatan di kawasan pecahnya ombak iaitu berdekatan garisan pantai. Namun, di Pantai Batu Buruk terdapat kawasan yang ada beting pasir terbentuk dan juga yang tidak mempunyai beting pasir iaitu kawasan lebih dalam," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Effi berkata keadaan itu menyebabkan berlaku kekeliruan antara kawasan dasar laut yang dalam dengan kawah laut.

Menurutnya, tidak dinafikan kawah laut boleh terbentuk oleh pusaran arus air yang kuat tetapi fenomena itu jarang berlaku di Malaysia kerana suhu air laut dan udara adalah tidak terlalu berbeza yang boleh membentuk pusaran seperti puting beliung di darat.

"Kawasan dasar laut yang dalam boleh dilihat dengan jelas ketika air surut dengan pandangan daripada atas.

"Bagaimanapun, keadaan dasar laut akan kembali kepada bentuk asal selepas tamatnya musim tengkujuh iaitu apabila air laut mulai tenang," katanya.-- LAGI

Dalam pada itu, Effi berkata pendidikan ilmu keselamatan di air dalam kalangan orang ramai perlu diberi penekanan dan tidak hanya sekadar meletakkan papan tanda amaran di sekitar kawasan pantai.

Mengambil contoh kes lemas di Pantai Batu Buruk itu, beliau berkata pendedahan masyarakat terhadap ilmu pembentukan arus kurau amat perlu kerana ia sudah meragut banyak nyawa.

"Di luar negara ilmu keselamatan di air sangat dititiberatkan seperti situasi apabila berdepan arus kurau.

"Ilmu kelautan dan keselamatan air perlu dipupuk dari peringkat sekolah lagi. Dengan itu pelajar dapat mengetahui proses dinamik kawasan pantai dan menentukan sama ada pantai itu sesuai untuk mandi-manda atau aktiviti lain," katanya.

Pada 19 Feb lepas, seorang lelaki dari Kuala Lumpur ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika beriadah bersama keluarga di Pantai Batu Buruk.

Susulan kejadian itu, tular di media sosial pelbagai gambar dan ulasan yang mengaitkan kejadian tersebut dengan kawah laut.

-- BERNAMA